Wednesday, July 29, 2015

Syawal 1436H - Gembira, teruja, sayu, sedih, benci...



Selamat Hari Raya! :)



Berlalu sudah Ramadhan, Syawal menjelang tiba... Aku melalui dengan penuh rasa yang bercampur, gembira, teruja, juga ada rasa sayu dan bingung. Mendengar perkhabaran pertunangan sepupuku yang sebaya denganku lebih buat aku risau. Bukan risau tentang jodohku, tetapi aku lebih risau dengan pertanyaan demi pertanyaan saudara-saudara kepadaku bila masaku pula tiba. Kebanyakan saudara maraku sudah sedia tahu tentang aku dan dia segalanya telah tamat, tapi bagi sesetengah saudaraku yang tidak rapat masih bertanya tentang dia. Apa yang aku rasa apabila muncul soalan tentang dia, rasa sakit, yup rasa itu masih ada. 

Bila aku ingat kembali betapa kesetiaan aku hanya dibuat barang mainan oleh seorang lelaki, sedih hanya Allah yg tahu. Lagi-lagi bila ia melibatkan emak dan ayahku, dan dia sampai hari ni, hampir setahun setelah dia memutuskan segalanya, tiada langsung usaha mahu meminta maaf kepada ibu dan ayah. Hanya dengan pesanan ringkas di phone, dia putuskan hubungan yang hampir sembilan tahun ini. Meminta maaf hanya melalui sms. Pedih dan sakit. Itu yang aku rasa. Dulu aku bukanlah seorang yg suka berdendam, tetapi dia, yup dia yang mengajar aku tentang rasa benci dan dendam. Bukan aku tak mahu untuk memaafkan, tetapi apabila setiap kali melihat wajah sedih dan rasa bersalah emak apabila saudara mara bertanya tentang dia kepadaku, membuatkan sakit itu datang kembali, benci makin menebal. Allah, jadikan aku seorang pemaaf seperti dulu. Hanya Engkau mampu mengubati hati ini. InsyaAllah, Amin. :')



-Zierahanie-